
Sebagai contoh, jika dilihat di Selangor dan Pulau Pinang, sungai-sungai yang terdapat di kedua-dua buah negeri ini telah mengalami tahap pencemaran yang teramat kritikal. Pencemaran ini berlaku dipercayai kesan daripada pembangunan yang tidak terbatas dan pertambahan populasi penduduk. Selain itu, sikap sesetengah manusia yang seolah-olah tidak bertamadun mengambil jalan pintas dengan membuang sampah sarap ke dalam sungai adalah menjadi punca berlakunya pencemaran. Apa yang dapat dilihat, di Pulau Pinang, realitinya, Sungai Pinang yang mengairi ibu negeri, Georgetown terus kekal sebagai sungai paling kotor di Malaysia dan airnya tidak boleh dijadikan air minuman walaupun sudah banyak usaha pemulihan sungai itu dijalankan. Di Selangor pula, dianggarkan sejumlah 1.2 juta tan kelodak terpaksa dipunggah dari Sungai Klang dalam masa setahun. Ini jelas sekali menunjukkkan tahap pencemaran sungai di negara kita berada ditahap kritikal. Jika sungai tidak dipelihara dan punca air semakin berkurangan kejadian yang menimpa rakyat di Selangor pada 26 Mac 2004 bakal berulang di mana mereka dikejutkan dengan masalah ketiadaan bekalan air paip.
Sungai-sungai yang teruk tercemar, bukan sahaja menyebabkan airnya berbau busuk, berkeladak dan kadang-kadang berwarna hitam, malahan pelbagai jenis sisa-sisa domestik turut terkandung di dalamnya. Sungai seolah-olah dijadikan tempat pelupusan sampah. Malah, sikap segelintir pengusaha kilang yang melepaskan kumbahan terus ke dalam sungai tanpa sebarang rawatan juga menjadi punca berlakunya pencemaran. Antara musibah lain yang bakal terjadi kesan daripada pembuangan sampah ke dalam sungai ialah banjir kilat seperti yang sering terjadi di Kuala Lumpur. Seharusnya perkara seperti ini dijadikan peringatan supaya ianya tidak berulang pada masa akan datang. Hakikatnya, walau begitu banyak sekali kempen dan peringatan yang disogokkan, kalau tidak wujud kesedaran dalam diri sendiri adalah mustahil untuk segalanya direalisasikan.
Oleh yang demikian, pemuliharaan sungai seharusnya dilaksanakan secara berterusan dan dikawal secara bersepadu. Pemeliharaan dan pemulihan sungai tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada pihak tertentu sahaja. Semua pihak seharusnya bertanggungjawab dalam melaksanakan usaha ini kerana memelihara sungai adalah tanggungjawab bersama. Seharusnya, polisi perundangan dan penguatkuasaan dimantapkan lagi bagi memupuk kesedaran yang berterusan. Sebenarnya, tidak mudah untuk mengubah sikap manusia tambah-tambah lagi di negara kita yang terdiri dariapda lapisan masyarakat dan sosio-ekonomi. Namun, usaha seperti ini diharap dapat mengubah sedikit sebanyak dapat mengubah mentaliti masyarakat di Malaysia tentang pemuliharaan sungai. Apa yang diharapkan pada satu hari sungai yang bakal diwariskan kepada anak cucu kita akan besih dan kualiti airnya menyamai kebersihan Sungai Hudson di Boston, Sungai Seine di Paris dan Sungai Thames di London.
kredit kepada:http://www.asiaexplorers.com/malaysia/kedah/sgsedim/00.jpg
No comments:
Post a Comment