Thursday, January 15, 2009

Pulau Pinang Semakin Hilang Kepelbagaian Faunanya

oleh: Azlan Bin Abdul Rahman
Pernahkan anda melihat kongkang (nycticebus coucang) keluar mencari makanan semasa anda bersiar-siar di Taman Kebun Bunga, Pulau Pinang mahupun anda ternampak sekumpulan lotong cekong (presbytis obscures) [gambar] bergayut riang semasa anda bercuti di kawasan peranginan Bukit Bendera? Pasti jawapan yang akan diterima ialah tidak! Kedua-dua haiwan yang dinyatakan sebentar tadi merupakan antara mamalia yang mudah ditemui di Pulau Pinang suatu ketika dahulu namun sedihnya pada masa kini mereka seakan ‘berhijrah’ keluar dari Pulau Pinang.

Jika disoroti kembali 30 tahun yang lepas, Pulau Pinang dihuni oleh pelbagai spesis flora dan fauna yang unik dan mungkin sukar untuk ditemui lagi pada waktu kini. Namun atas usaha pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang pesat, pulau ini semakin kehilangan khazanah alam yang tidak ternilai iaitu kehidupan faunanya. Dahulu Pulau Pinang 30 diserikan dengan kepelbagaian hidupan termasuklah manusia dan pelbagai jenis haiwan. Antara kumpulan-kumpulan haiwan yang menghuni pulau ini termasuklah dari kumpulan insektivora seperti cencurut, primates (kera dan monyet), karnivora (memerang, kucing batu, musang), pholidota (tenggiling), artiodaktila (babi hutan, pelanduk, kancil) serta beberapa lagi kumpulan haiwan yang lain.

Mengambil kumpulan haiwan primates sebagai contoh, haiwan yang tergolong dalam kumpulan ini adalah dari keluarga monyet, tupai dan juga kongkang. Haiwan-haiwan dari kumpulan ini hidup bertaburan di sekitar Pulau Pinang dan mudah didapati di hutan-hutan di negeri ini. Namun kehidupan mereka kini semakin terancam dek pembangunan pesat yang memusnahkan alam sekitar dan kawasan habitat mereka. Contoh terbaik ialah kongkang ataupun juga dikenali sebagai “slow loris” yang merupakan spesis tunggal dari kumpulan primates yang ada di semenanjung Malaysia. Jika dahulu ianya mudah ditemui di kawasan hutan di sekitar Pulau Bentong dan Ayer Itam, namun kini berkemungkinan besar tiada seekor pun lagi haiwan ini di dua kawasan tersebut. Nasib yang sama turut menimpa haiwan-haiwan lain seperti tupai terbang ekor merah (iomys horsefieldii), tupai terbang hitam (aeromys tephromelas) dan lotong cengkong (presbytis obscurus) yang kehilangan kawasan habitat dan kemandirian spesis semulajadi mereka yang seterusnya mungkin menjadi faktor kepupusan haiwan ini jika tidak diberikan langkah pemuliharaan dan pemeliharaan sewajarnya.

Selain itu, kubung (cynocephalus variegatus) dan kucing batu (felis bengalensis) [gambar] dilihat berpotensi untuk pupus berdasarkan faktor kemusnahan habitat serta sumber makanan disamping faktor kelahiran spesis yang sedikit. Kucing batu sebagai contoh merupakan antara haiwan yang membiak dalam jumlah yang kecil dan ancaman terhadap kelangsungan hidup mamalia ini memungkinkan berlakunya kepupusan terhadap haiwan ini. Begitu juga yang berlaku kepada kumpulan haiwan artiodaktila seperti babi hutan (sus scrofa) dan pelanduk (tragalus javanicus). Kedua-dua jenis haiwan ini mungkin akan diancam kepupusan jika kawasan hutan yang menjadi kawasan habitat dan sumber makanan mereka dimusnahkan untuk pembangunan dan kepentingan manusia. Kesemua hidupan ini memerlukan hutan dan sistem ekologi yang baik untuk meneruskan hidup yang seterusnya boleh dijadikan khazanah alam untuk kehidupan generasi pada masa hadapan.

Jadi, semua pihak termasuklah diri kita sendiri hendaklah bersama-sama menggembeleng tenaga dan usaha untuk memastikan kesemua haiwan dan hidupan yang pernah dan masih menghuni pulau bertuah ini untuk terus hidup dan mewarnai kepelbagaian kehidupan di sini. Langkah pemeliharaan dan pemuliharaan wajar dipratikkan supaya generasi yang akan datang dapat menikmati dan mewarisi khazanah alam ini. Keperihatinan dan kesedaran menyeluruh mengenai kehidupan haiwan-haiwan ini dapat membantu kita meneruskan hidup dalam sistem ekologi yang baik dan bermanfaat untuk semua hidupan di muka bumi.

4 comments:

  1. Hi, sorry to say..but, saya nak bagi komen mengenai hidupan 'kongkang'...Pada sebulan yg lalu, saya baru sahaja bersiar-siar ke Taman Kebun Bunga, Pulau Pinang..Untuk pengetahuan sdra Azlan, masih banyak lagi kongkang yg keluar mencari makanan dan bermain-main di sekitar kawasan tersebut. Saya tidak fikir haiwan-haiwan ini semakin pupus kerana pelawat yang melawati Taman tersebut akan menyediakan makanan untuk haiwan tersebut. Malah saya melihat haiwan-haiwan itu seperti dijaga, terpelihara dengan baik oleh pelawat-pelawat...

    (p/s: perkataan 'merupakan' menunjukkan sesuatu yang merupa...lebih baik elakkan daripada menggunakannya..perkataan "adalah" lebih sesuai)

    ReplyDelete
  2. berita nie, akan jadi lebih menarik sekiranya, saudara pengarang menambah lebih banyak gambar2 yang tentang haiwan2 berkenaan..

    ReplyDelete
  3. hi saini1985.. terima kasih utk pandangan anda.. namun pembetulan harus dilakukan disini.. saya rasa yang dimaksudkan oleh anda mengenai kongkang di kawasan tersebut mungkin kumpulan beruk dan kera yang sememangnya banyak berkeliaran di kawasan kebun bunga tersebut.. dan mungkin juga anda terkeliru dengan gambar yang saya lampirkan.. untuk pengetahuan saini, gambar tersebut bukannya kongkang tetapi lotong cekong.. sememangnya terdapat lotong cekong di situ namun bilanganya semakin berkurangan.. harap dapat dibezakan.. terima kasih saini1985 ;)

    ReplyDelete
  4. hi helmikangkong.. terima kasih atas pandangan anda.. untuk artikel akan datang saya akan lampirkan lebih banyak gambar untuk tatapan pembaca.. teruskan usaha anda menjaga alam sekitar.. nice name.. ;)

    ReplyDelete