Tuesday, January 20, 2009

Tanah Runtuh! Tanah Runtuh! Tanah Runtuh! … Apa puncanya???

Oleh: Azlan bin Abdul Rahman

Setiap pagi selepas bersiap mandi sebelum ke kuliah, saya pasti tercari-cari naskhah surat khabar untuk mengetahui keadaan semasa dunia serta tempatan. Namun, tiap kali saya mengamati kisah-kisah yang dipaparkan di dada akhbar, kekecewaan dan kekesalan pasti timbul di sudut hati saya. Kekesalan dan kesedihan ini bukan sahaja ditujukan ke atas kekejaman rejim zionis di Palestin yang membunuh kanak-kanak dan golongan wanita yang tidak berdosa bahkan saya turut sedih dan kesal atas apa yang berlaku terhadap alam sekitar semulajadi di Malaysia.

Menyentuh mengenai malapetaka alam sekitar yang berlaku di Malaysia, kita tidak dapat lari daripada membincangkan peristiwa tanah runtuh yang kini seakan menjadi tajuk hangat dalam pelaporan media massa. Saban hari media massa menimbunkan kita dengan pemaparan kes-kes tanah runtuh tidak kira samada kes kecil yang hanya memusnahkan sebatas kebun sayuran mahupun kes tanah runtuh yang besar sehingga meragut nyawa manusia. Pada saya tiap pemaparan kes tanah runtuh dalam media massa menuntut kerjasama dan keperihatinan semua pihak terhadap permasalahan ini.

Menyingkap kembali sejarah kejadian tanah runtuh di Malaysia, minda dan pemikiran kita pasti akan tertarik untuk membincangkan kembali mengenai kejadian tanah runtuh terburuk di negara ini yang berlaku pada tahun 1993. Kejadian sebuah pangsapuri mewah rebah menyembah bumi pada 11 Disember 1993 di Hulu Kelang menjadi igauan ngeri bukan sahaja di kalangan penduduk di situ bahkan untuk seluruh masyarakat Malaysia. Kegagalan fungsi tanah untuk menyokong struktur bangunan perumahan tersebut menyebabkan ianya runtuh dan mengorbankan 48 nyawa penghuni blok perumahan tersebut. Malapetaka hebat ini dikatakan berpunca daripada taburan hujan selama 10 hari tanpa henti di kawasan terbabit dan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan runtuh. Persoalannya, adakah wajar di salahkan hujan yang menjadi punca kelonggaran struktur tanah di kawasan itu? Tidakkah kita sebagai manusia yang mendambakan pembangunan yang perlu dipersalahkan? Soalan dari kita yang hendaklah diselesaikan oleh kita sendiri. Pandangan saya mengenai persoalan ini cukup mudah, kegagalan fungsi tanah di kawasan tragedi Highland Towers ini bukan hanya disebabkan oleh taburan hujan tanpa henti namun disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang memusnahkan alam sekitar terutamanya kawasan tanah tinggi di kawasan tersebut. Penerokaan dan pemusnahan hutan dan kawasan tanah tinggi tanpa kawalan untuk membangunkan lot-lot perumahan mungkin menjadi punca berlakunya kes-kes tanah runtuh di sekitar kawasan terbabit. Demi pembangunan fizikal dan material, manusia lupa akan perjanjian kita dengan tuhan yang esa iaitu untuk menjadi khalifah yang memakmurkan bumi ini.

Kes di atas hanya merupakan satu contoh mula kegagalan manusia memakmurkan bumi tuhan yang indah ini. Jika kita hendak membincangkan mengenai kejadian tanah runtuh di negara kita, pasti naskah demi naskah surat khabar akan dipenuhi dengan pemaparan kes kejadian seumpama kejadian Higland Towers. Selepas tragedi Highland Towers pada tahun 1993, kita dipaparkan pula dengan rentetan kejadian tanah runtuh di negara kita. Ada yang dasyat dan ada juga yang tidak membahayakan nyawa dan kehidupan manusia. Namun, kejadian tanah runtuh tetap menjadi musibah dek tangan-tangan manusia. Kejadian tanah runtuh di kilometer 34 jalan susur Genting Highland pada 30 Jun 1995 sekali lagi menyaksikan berlakunya korban malapetaka apabila 20 nyawa hilang dalam kejadian tersebut. Punca kejadian kes tersebut seperti yang dilaporkan masih sama iaitu hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari. Tidak cukup dengan kes itu, kita dikejutkan pula dengan kes tanah runtuh yang menyebabkan berlakunya banjir lumpur di Pos Dipang, Perak yang meragut nyawa 44 masyarakat Orang Asli dan memusnahkan kawasan penempatan mereka pada 29 Ogos 1996. Menginjak ke alaf baru, kita masih tidak dapat lari daripada membincangkan mengenai kes tanah runtuh kerana kita masih dihantui oleh permasalahan tersebut. Pada tanggal 26 Disember 2007, kejadian tanah runtuh yang memusnahkan sederetan rumah kayu di Kapit, Sarawak pula mengejutkan kita. Dua kematian dicatatkan dan kegagalan perencanaan semulajadi alam sekitar di kawasan terbabit dipersalahkan. Sekali lagi faktor alam sekitar yang dipersalahkan dan bukannya manusia. Dan kes terbaru yang mengejutkan kembali masyarakat di Hulu Kelang ialah kes tanah runtuh dasyat yang berlaku di kawasan penempatan mewah Bukit Antarabangsa. Kejadian pada bulan Disember lalu ini memusnahkan 14 banglo mewah dan menelan nyawa 4 orang mangsa manakala 15 yang lain dilaporkan cedera. Sama seperti kejadian-kejadian sebelum ini, selepas terhantuk baru kita terngadah dan mula mencari formula-formula berkesan untuk menangani permasalahan tanah runtuh di negara kita.

Contoh-contoh yang diberikan di atas merupakan malapetaka alam sekitar yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda manusia. Belum diceritakan lagi kejadian-kejadian tanah runtuh berskala kecil yang berlaku di negara kita. Mengambil contoh kawasan penempatan saya, Balik Pulau dan Bayan Lepas, tiap kali musim hujan pasti akan kedengaran kes-kes tanah runtuh yang menghalang laluan kenderaan seperti di selekoh Balik Pulau dan di beberapa kawasan di Paya Terubung juga Teluk Bahang. Namun semuanya seakan tidak mampu menyedarkan pihak terbabit dan pembangunan di kawasan yang sering berlaku tanah runtuh ini masih giat dijalankan. Apakah punca berlakunya kejadian tanah runtuh ini? Apakah langkah wajar yang perlu diambil? Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Pepatah ini sesuai untuk digunakan dalam perencanaan jalan penyelesaian permasalahan tanah runtuh dan malapetaka alam sekitar lain di negara kita. Langkah pencegahan awal seperti mengharamkan penerokaan kawasan hutan dan tanah tinggi dapat mengelakkan daripada berulangnya kejadian-kejadian tanah runtuh di negara kita. Langkah pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan kawasan tanah tinggi yang baik wajar diterapkan oleh pihak yang berkenaan demi melihat generasi yang akan datang hidup dalam alam sekitar yang menjaminkan kesejahteraan.

Kesedaran dan keperihatinan awal daripada semua pihak amatlah dituntut dalam merealisasikan impian ini. Semua pihak haruslah berkerjasama dalam menyedarkan diri sendiri, komuniti sekeliling dan masyarakat sedunia akan peri pentingnya alam sekitar dalam kehidupan manusia. Alam sekitar yang baik menjamin kelestarian hidup manusia pada masa kini dan juga yang mendatang.

(kredit: gambarajah dimuat turun dari: www.flickr.com)

1 comment: