Oleh: Tan Poh Ling
Mengimbau kembali saat-saat bercuti di Rantau Abang tahun lepas, hati saya begitu pilu dan sedih. Hati saya terpukul apabila melihat sebilangan manusia kejam “merampas” nyawa dan kehidupan makhluk kerdil yang tiada daya melawan iaitu penyu.
Bayangkan, dalam keadaan sarat mengandung zuriat untuk dilahirkan, penyu mengembara beribu batu semata-mata untuk kembali bertelur di kawasan kelahiran mereka. Namun, sedih terpalit di hati kita apabila telur-telur yang baru dikeluarkan “dirampas” tangan-tangan manusia. Telur–telur itu kemudiannya dijual kepada para pelancong untuk dijamah. Lebih buruk lagi apabila terdapat penyu-penyu yang ditangkap dan dibunuh tanpa belas kasihan semata-mata untuk mendapatkan cengkerangnya untuk dijadikan perhiasan. Adakah nyawa penyu-penyu ini langsung tidak berharga pada kita? Tidakkah kita sayu melihat linangan air mata penyu setiap kali mereka naik ke darat untuk bertelur? Persoalan yang hanya boleh dijawab oleh manusia yang dikurniakan akal dan kudrat untuk membantu makhluk kerdil ini.
Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea)
Kita seharusnya bersyukur dengan kurniaan tuhan di mana bumi kita kaya dengan pelbagai sumber semulajadi serta keunikannya. Malaysia antara negara yang menjadi pilihan kumpulan beberapa spesis penyu untuk bertelur. Terdapat empat jenis penyu yang singgah bertelur di sini antaranya spesies Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), Penyu Agar (Chelonia mydas),Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan ). Kesesuaian keadaan laut, pantai serta fizikal penyu-penyu tersebut menjadikan kawasan perairan Malaysia sesuai untuk mereka bertelur.
Penyu Agar merupakan spesis yang paling banyak mendarat di pantai negara kita terutamanya Terengganu. Kebiasaannya, Penyu Agar akan singgah di pantai-pantai Malaysia dari bulan Mac sehingga September. Dalam tempoh ini, bulan Julai menjadi waktu puncak pendaratan spesis penyu ini. Namun begitu, kehadiran mereka ke sini semakin berkurangan akibat sifat kerakusan manusia sendiri apabila kerap kali mencuri telur-telur penyu ini. Malahan habitat atau tempat mereka bertelur juga tercemar dan dimusnahkan. Pembangunan pesat untuk pelancongan di kawasan perairan dan pantai menjadi punca kemusnahan habibat serta kawasan bertelur penyu-penyu ini.
Mengikut statistik dari Jabatan Perikanan Malaysia - Penyu dan Ekosistem Marin (Turtle and Marine Ecosystem Centre), pendaratan Penyu Agar ke Malaysia semakin berkurangan iaitu hanya lebih kurang seribu ekor penyu sahaja yang singgah di pantai Terengganu pada 2006 berbanding dua ribu ekor seperti yang direkodkan pada tahun 1997. Statistik ini sudah cukup menggambarkan pada kita yang penyu semakin terancam dan berkemungkinan boleh pupus sekirannya tidak diberikan perlindungan sewajarnya.
Anak Penyu
Kebimbangan ini seharusnya menyedarkan semua pihak untuk sama-sama membantu memelihara kehidupan spesis ini. Kita pastinya tidak mahu generasi akan datang hanya tahu mengenai penyu melalui buku atau ensiklopedia, sebaliknya mereka berbangga kerana lahir di negara yang mempunyai haiwan unik ini. Semua pihak haruslah berganding bahu untuk memperjuangkan kehidupan spesis yang semakin terancam ini. Aktiviti konservasi harus dilakukan untuk memastikan generasi masa hadapan dapat melihat serta mengamati keunikan haiwan ini dengan mata mereka sendiri.
Saturday, February 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment