oleh Gowri Sritharan
Kebelakangan ini, fenomena pemanasan global sering menjadi topik yang dibincangkan di media elektronik dan media cetak. Isu ini turut mendapat perhatian badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGOs) serta masyarakat di seluruh dunia.
Pemanasan global atau lebih dikenali sebagai Global Warming merujuk kepada fenomena kenaikan suhu purata bumi akibat peningkatan gas rumah hijau (Green House Gases- GHG) dalam atmosfera. Gas-gas GHG seperti karbon monoksida, karbon dioksida, klorofluorokarbon (CFC), metana dan nitrus oksida memerangkap haba daripada sinaran matahari, seterusnya maningkatkan suhu purata dalam atmosfera bumi.
Apabila berlaku malapetaka kepada alam semesta, sudah pasti ada puncanya. Sebagaimana yang diketahui, aktiviti penebangan hutan yang berleluasa serta kegiatan perkilangan dan industri yang tidak terkawal antara punca berlakunya pemanasan global.
Antara kesan negatif yang timbul daripada pemanasan gobal adalah bencana alam seperti El-Nino, ribut petir, hakisan ombak, dan yang paling membimbangkan, pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan yang akan menenggelamkan kawasan rendah di seluruh muka bumi.
Dalam usaha menangani permasalahan ini, masyarakat perlu lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar yang berlaku pada masa ini kerana ia mempunyai kaitan dalam kehidupan seharian kita. Generasi muda pada masa kini juga seharusnya dipupuk nilai kesedaran tentang kepentingan alam sekitar.
Pada masa yang sama, kerajaan juga seharusnya mengambil berat isu yang semakin kritikal ini. Sebagai contoh, pelbagai undang-undang diperingkat negeri boleh digubal untuk mengurangkan pembalakan dan penebangan hutan. Pembalakan perlu dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan hutan tidak sewenang-wenangnya diteroka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Aktiviti-aktiviti industri juga perlu dikawal rapi melalui penguatkuasaan undang-undang, terutamanya dari segi pembebasan gas-gas ke atmosfera. Hal ini bagi memastikan kelangsungan alam sekitar dan masa depan yang terjamin untuk generasi yang akan datang.
Disamping itu, kajian terhadap penggunaan sumber alternatif yang boleh diperbaharui perlu dikembangkan. Contohnya, biodiesel, solar dan hidroelektrik. Hal ini bagi memastikan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil yang juga merupakan punca pemanasan global.
Tuesday, February 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment