Wednesday, February 18, 2009

Tasik Meromiktik: Keunikan Yang Harus Dipelihara

Oleh: Azlan Abdul Rahman

Terpesona dan mengagumkan! Dua perkataan paling sesuai menggambarkan fenomena peralihan pasang surut air di Tasik Meromiktik, Pantai Kerachut, Taman Negara Pulau Pinang. Tasik unik yang dikelilingi ratusan pohon-pohon teduh memayung persekitarannya mempunyai kisah yang tersendiri.

Tasik Meromiktik adalah tasik unik yang hanya terdapat di Taman Negara Pulau Pinang dan 19 tempat lain di seluruh dunia. Keunikan tasik ini bukan terletak pada lokasi mahupun saiznya, tetapi unik dari segi kandungan serta cara peralihan pasang surut airnya.

Meromiktik bermaksud dua lapisan air iaitu air laut dan air sungai yang tidak bercampur antara satu sama lain. Lapisan air yang tidak bercampur ini akan menjadikan suhu air tersebut berlainan dan menjadi habitat dua jenis hidupan berlainan. Struktur lapisan air di Tasik Meromiktik kebiasaannya dilatari oleh air laut pada dasar tasik dan air sungai pada bahagian atas dan permukaan kerana ketumpatan air laut adalah lebih tinggi berbanding dengan air sungai. Menyentuh mengenai kehidupan di dalam tasik seumpama ini, keistimewaannya masih dapat dilihat apabila hidupan air seperti ikan-ikan kecil dan udang juga datangnya dari berlainan jenis iaitu ikan-ikan laut dan sungai.



Tasik ini mempunyai keluasan 2.77 kilometer persegi dengan kedalaman maksima 9 kaki. Proses semulajadinya akan bersilih ganti membentuk dan mengeringkan tasik unik ini. Kebiasaanya pada waktu peralihan angin monsun iaitu antara pada bulan April hingga Mei dan Oktober hingga November, fenomena unik pembentukan dan pengeringan tasik ini dapat dilihat serta diamati. Musim monsun yang membawa ombak besar dan angin kencang akan membantu proses pemecahan benteng pasir pantai dan membentuk aliran air laut masuk ke dalam tasik. Lama-kelamaan tasik ini akan dipenuhi dengan air laut dan air sungai dari enam batang sungai yang mengelilingi tasik ini. Seterusnya, selepas satu tempoh waktu dan peralihan musim monsun, ombak besar dan angin kencang sekali lagi membantu proes merobohkan empangan pasir dan menarik air laut serta sungai keluar ke laut. Fenomena ini boleh berlaku berulang kali dalam tempoh peralihan angin monsun.



Pengunjung dan pelawat yang bertuah sahaja dapat melihat proses pembentukan dan pengeringan Tasik Meromiktik ini. Pengunjung yang berminat melihat tasik ini dipenuhi air bolehlah melawatnya antara akhir bulan Mei sehingga Disember dan tasik ini akan berubah wajah menjadi kering antara bulan Januari hingga Mei. Sekadar berkongsi informasi, jika tasik ini pasang dan dipenuhi air, ia mampu membekalkan air untuk kegunaan 2500 buah rumah selama setahun. Anda boleh bayangkan keluasan tasik ini.

Langkah pemeliharaan dan pemuliharaan tasik ini wajar dipratikkan secara konsisten dan berterusan. Semua pihak termasuklah pengunjung dan pelawat hendaklah menyedari keunikan tasik ini dan menghargainya sebagai salah satu warisan alam untuk kita pelihara. Apa yang kita miliki pada hari ini bukanlah hak kita sahaja tetapi keperluan untuk generasi mendatang. Jadi bersamalah kita memelihara keindahan dan keunikan warisan alam untuk kesejahteraan bersama.

No comments:

Post a Comment