Monday, February 2, 2009

Elak Kemusnahan Khazanah Laut

Oleh: Afra Fardillah Zai Mustapar
Bingit dengan deruan enjin kenderaan di kesibukan kota, kadangkala membuatkan kita terfikir untuk menikmati deruan ombak menghempas pantai disamping dapat merehatkan minda yang sesak dengan bebanan kerja. Kebiasaannya, pulau peranginan akan menjadi pilihan utama pelbagai jenis lapisan masyarakat bagi menikmati keindahan laut Malaysia yang sememangnya kaya dengan khazanah laut dengan lebih 400 spesies batu karang dan lebih 1,000 spesies ikan. Namun begitu, keseronokan hanya sebentar sahaja kerana apabila sampai di tempat yang tujui, harapan musnah dan mata semakin sakit melihat air laut yang semakin tercemar dan bertukar warna serta pantai yang sudah tidak lagi terpelihara. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 mendefinasikan pencemaran adalah sebarang perubahan samada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeiling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain seperti tumbuhan dan haiwan.

Akibat kerakusan manusia yang tidak pernah puas merompak hasil perut bumi, khazanah laut turut menjadi mangsa dek kerana sikap manusia seperti ini. Di Malaysia, pencemaran sisa industri yang mengalir ke laut terutama di negeri-negeri perindustrian seperti Johor, Pulau Pinang harus diberikan perhatian sepenuhnya. Ini kerana pencemaran seperti itu dipercayai boleh menjejaskan hidupan marin dan seterusnya sumber makanan dan ekonomi nelayan yang menangkap ikan secara tradisional. Berbeza pula dengan pulau-pulau peranginan yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah yang dikatakan kaya dengan pebagai jenis biodiversiti laut seperti terumbu karang yang telah diwartakan sebagai Taman Laut dalam beberapa kajian. Pulau ini juga dikatakan sering menjadi tumpuan pelancong kerana pantainya yang bersih dah masih terselamat dari pencemaran dan aktiviti manusia. Kawasan ini perlu dipelihara memandangkan ianya terdedah kepada ancaman kemusnahan sama ada secara semulajadi atau kesan daripada aktiviti manusia. Langkah mewujudkan Taman Laut Malaysia sebagai kawasan perlindungan laut sejak 1994 melalui Akta Perikanan 1985 merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha untuk memulihara khazanah laut.

Di samping itu, pembangunan baru seperti chalet dan resort harus dikurangkan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran seperti di Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor. Bagaimanapun, dalam usaha untuk meningkatkan sektor pelancongan, perlu ada keseimbangan antara langkah pemuliharaan dan pelancongan. Ini bagi memastikan dengan kehadiran pelancong tidak akan menjejaskan terumbu karang dan menjejaskan usaha-usaha pemuliharaan yang diusahakan oleh pelbagai pihak yang terbabit.

Oleh yang demikian, bagi mencapai objektif sebenar pemuliharaan laut, pelbagai pihak seperti orang ramai, Jabatan Perikanan, Jabatan Taman Laut, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Alam Sekitar perlu bekerja sama mengurus dan mengekalkan keaslian laut secara tegas dan lestari.

1 comment:

  1. manusia sekarang masih belum sedar tentang pemuliharaan laut kita.perlu banyak lagi kempen2 kesedaran tentang penjagaan laut & alam sekitar kita.

    ReplyDelete