Monday, March 30, 2009

Earth Hour, Apakah signifikannya?

Oleh:Afra' Fardillah ZaiMustapar





Dalam tempoh beberapa minggu ini setiap manusia dari seluruh pelusuk dunia sibuk memperkatakan tentang Earth Hour. Ada diantara kita yang benar-benar mengetahui tentang perkara ini dan mungkin juga ada tidak mengetahuinya. Malah, apa yang lebih menyedihkan ada juga segelintir yang langung tidak mahu ambil peduli apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Earth Hour.

Dalam keadaan persekitaran dunia yang semakin tidak menentu akibat perbuatan manusia yang semakin hari semakin ghairah melakukan kemusnahan ke atas bumi, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk membendung keadaan yang semakin kritikal ini bagi kita memperolehi persekitaran yang lestari. Oleh yang demikian, kempen Earth Hour adalah merupakan salah satu inisiatif yang telah diambil dalam usaha untuk memelihara bumi dari terus diancam kemusnahan.

Earth Hour adalah merupakan satu acara tahunan peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh World Wildlife Fund (WWF) bagi menangani masalah pemanasan global. Acara ini dipercayai telah dimulakan oleh Sydney, Australia pada tahun 2007 dan ia telah menjadi acara tahun antarabangsa sejak dari mula ia dilaksanakan. Ini dilaksanakan dengan menyarankan kepada masyarakat seluruh dunia supaya tidak menggunakan peralatan elektrik selama satu jam. Jika dilihat secara menyeluruh, ada kemungkinan langkah ini sukar untuk dilaksanakan di mana kita akan terpaksa bergelap selama satu jam. Secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pelbagai faktor. Namun, kadangkala kita perlu berfikir sejenak kerana kerugian yang kita perolehi kesan daripada satu jam lampu dipadamkan tidak sama dengan kemelut kemusnahan yang telah kita lakukan sejak beberapa dekad yang lalu. Malahan, jika kita sedar bumi sebenarnya semakin hari semakin nazak akibat daripada perbuatan kejam kita sendiri.

Sebagai sebuah negara yang mengambil berat tentang alam sekitar, Malaysia tidak terlepas untuk turut sama menyertai kempen ini secara rasmi pada tahun 2009. Walaupun agak terlewat namun ini adalah merupakan satu permulaan yang baik. Ini jelas menunjukkan Malaysia masih peka dalam usaha untuk memberi sokongan bagi menangani masalah pemanasan global. Pada detik 28 Mac tepat jam 8.30 Malaysia akan menjadi salah satu daripada 35 negara yang turut sama bergelap selama satu jam sebagai tanda keperihatinan kepada alam sekitar. Justeru, bagi memastikan perkara ini dapat direalisasikan, semua pihak seharusnya berkerjasama dan mengambil bahagian dalam kempen ini. Dalam pada masa yang sama, media elektronik mahupun media cetak memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempromosikan kempen kepada seluruh rakyat di Malaysia.

Kemelut alam sekitar sememangnya tidak akan berakhir selagi adanya pembangunan yang tidak lestari. Namun, semua pihak harus menerima hakikat bahawa apa yang terjadi selama ini adalah disebabkan sikap manusia itu sendiri. Perlu diingat alam sekitar adalah untuk dihargai bukan untuk dimusnahkan. Mungkin juga dengan turut sama menyertai kempen Earth Hour secara tidak langsung kita dapat sama-sama menyelamatkan bumi daripada terus diancam kemusnahan.

No comments:

Post a Comment