Tuesday, March 3, 2009

Jerebu

oleh Tan Poh Ling



Menjelang musim kemarau, isu jerebu pasti menjadi salah satu agenda yang hangat diperbincangkan oleh semua pihak. Ketika inilah biasanya semua pihak akan menuding jari antara satu sama lain mencari kesalahan dan punca berlakunya jerebu.

Menurut kajian, jerebu terjadi apabila zarah-zarah halus yang tidak nampak oleh mata kasar terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi. Zarah-zarah ini akan menyerap dan menyerakkan cahaya matahari sehingga mengurangkan jarak atau membataskan penglihatan. (Sumber: Jabatan Alam Sekitar).

Punca utama jerebu ialah aktiviti manusia sendiri seperti asap kenderaan, kilang dan juga pembakaran terbuka. Tindakan manusia yang mementingkan diri sendiri merupakan faktor berlakunya jerebu yang akhirnya merbahayakan kesihatan kita sendiri.

Masalah jerebu telah melanda Malaysia pada tahun 1991, 1994 dan 1997. Namun begitu, jerebu yang paling teruk melanda Malaysia adalah tahun 1997 dengan nilai Indeks Pencemaran Udara yang tertinggi sebagai 1033 API di Kuching Sarawak. Jerebu boleh menyebabkan kesan negatif kepada banyak sektor termasuk pelancongan, kesihatan, perikanan, pertanian dan perhutanan. Jerebu pada jangka masa lama boleh memberi kesan kepada produktiviti tanaman pertanian.

Dalam jangka panjang, keadaan ini akan membawa kesan negatif kepada alam sekitar dan seterusnya menjejaskan produktiviti pertanian. Tumbuh-tumbuhan akan mati akibat gas-gas yang mencemarkan alam sekitar. Contohnya, sulfur dioksida akan menyebabkan pokok barli dan pokok kapas mengalami kerosakan dan seterusnya membantutkan pertumbuhan pokok-pokok tersebut.

Kita tidak sepatutnya hanya menuding jari antara satu sama lain mencari kesalahan dan juga punca jerebu. Sikap sambil lewa manusia terhadap keadaan alam sekitar akan menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk. Manusia seharusnya berganding bahu dalam memelihara dan memulihara alam sekitar demi masa depan anak-anak kita.

No comments:

Post a Comment