Tuesday, March 3, 2009

Pemanasan Global

oleh Tan Poh Ling



Pada masa kini, fenomena permanasan global menjadi satu isu yang hangat diperbincangkan di merata dunia. Pemanasan global berlaku akibat pembakaran bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas menyebabkan peningkatan gas rumah hijau yang sangat banyak seperti karbon dioksida, metana dan klorofluorokarbon (CFC) ke dalam lapisan atmosfera. Gas rumah hijau yang terperangkap tidak dapat dibebaskan akan menyebabkan suhu di bumi meningkat dan keadaan di sekitar menjadi panas.

Di Malaysia, tanda-tanda perubahan iklim akibat kesan rumah hijau dapat dilihat menerusi beberapa kejadian bencana alam yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara seperti kenaikan paras air laut, jerebu, banjir, tanah runtuh dan kekurangan sumber air. Fenomena pemanasan global ini bukan hanya dihadapi oleh masyarakat di Malaysia sahaja malah ia merupakan isu global yang harus ditangani secara bersama oleh semua negara di dunia.

Kesan rumah hijau banyak menganggu keadaan ekosistem alam sekitar, contohnya pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan akan menyebabkan peningkatan aras laut. Paras laut semakin tidak stabil akan menghasilkan gelombang yang besar yang mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai serta memusnahkan zon penampan paya bakau yang mengakibatkan kerosakan habitat pelbagai jenis spesies tumbuhan dan juga hidupan akuatik.

Selain itu, sumber hutan dara yang tidak dipelihara dengan baik juga menyumbang kepada kesan perubahan cuaca terhadap ekosistem. Kegiatan seperti pembalakan haram, pembakaran hutan secara terbuka dan juga pembukaan kawasan baru bagi tujuan pembangunan banyak menyumbang kepada isu pemanasan global ini. Ini adalah kerana pokok-pokok berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida bagi proses fotosintesis. Gangguan yang berlaku kepada ekosistem akibat kerakusan manusia akhirnya akan membawa bencana kepada manusia sendiri.

Ini adalah kerana bencana seperti tanah runtuh, banjir lumpur dan kekurangan sumber sering berlaku pada masa kini. Kita merupakan sebahagian dari ekosistem haruslah bersama menangani isu pemanasan global ini. Semua lapisan masyarakat dan juga komuniti antarabangsa mesti bekerjasama dalam memelihara dan memulihara alam sekitar agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

(kredit gambar:http://www.flickr.com/photos/rizzato/2671575856/)

No comments:

Post a Comment