Monday, March 16, 2009

USM Peneraju Konservasi Alam Semula jadi

Oleh: Azlan Abdul Rahman


Kedamaian, kehijauan dan ketenangan suasana persekitaran Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang menceritakan segala-galanya mengenai keindahan alam sekitar. Suasana tenang dan damai ini bukanlah suatu perkara mudah untuk dikekalkan, tambahan pula USM terletak berhampiran kawasan yang dihimpit pembangunan pesat di Pulau Pinang. USM boleh dikatakan sebagai nadi kehidupan bukan sahaja untuk manusia di sekitarnya bahkan untuk pelbagai jenis hidupan termasuklah haiwan dan tumbuhan.

Bila bercerita mengenai langkah konservasi yang dipraktikkan di kampus ini, pelbagai agenda dan perancangan telah dilaksanakan oleh USM. Langkah konservasi ini bukan sahaja merujuk kepada aspek penjagaan dan kelestarian alam semula jadi bahkan termasuk penjagaan bangunan tinggalan sejarah dan pembangunan fizikal USM secara holistik. Perencanaan semula jadi ekosistem di kampus ini dipantau bagi memastikan ia akan berfungsi dengan baik untuk jangka waktu yang panjang.

USM merupakan juara dan pelopor dalam aspek konservasi alam semula jadi. Pelbagai langkah awal pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar telah dilakukan oleh pihak USM seperti Langkah mewartakan Lurah Burung sebagai kawasan santuari burung oleh Naib Canselor USM ketika itu, Tun Hamdan Sheikh Tahir. Ia merupakan langkah awal yang bijak dalam memelihara dan memulihara bukan sahaja spesis-spesis burung di kampus ini bahkan pelbagai jenis tumbuhan.

Tidak cukup dengan itu, USM juga merupakan peneraju dalam konservasi bangunan peninggalan sejarah dan antik. Bangunan bersejarah yang terdapat di kampus ini dipantau dan dikawal selia sepenuhnya bagi memastikan ia terus kekal sebagai warisan dan peninggalan sejarah yang bernilai tinggi. Aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah ini merupakan idea yang bermutu dalam memastikan kesinambungan sejarah pada masa hadapan.

Jika dilihat pada konteks kini, prinsip Pembangunan Lestari, Universiti Dalam Taman dan Kampus Sejahtera merupakan terapan dan acuan terbaik untuk melindungi dan memelihara bukan sahaja kehidupan penghuni di kampus ini bahkan untuk kepelbagaian hidupan lain di dalamnya termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta alam semula jadinya. Selain itu, idea penubuhan Eco-Team USM yang berperanan memantau serta menguruskan perencanaan keseluruhan ekosistem di USM merupakan inisiatif terbaru pihak universiti dalam mencapai misi universiti berorientasikan kelestarian pelbagai aspek. Terapan prinsip pembangunan lestari mewujudkan lebih banyak institusi dan organisasi yang berkepentingan menjaga kelestarian serta kesinambungan alam sekitar di kampus dan kawasan sekeliling USM.

Segala penat lelah USM dalam merencanakan Pembangunan Lestari, Universiti Dalam Taman dan Kampus Sejahtera ini membuahkan hasil bukan sahaja di peringkat nasional bahkan ke peringkat global. Pengiktirafan USM sebagai Universiti APEX yang menjangkau sempadan yang lebih luas pasti akan membuka lebih banyak mata untuk melihat serta meneladani apa yang telah USM terapkan di kampus ini. Diharap USM dapat menjadi peneraju dan juara konservasi alam semula jadi bukan sahaja di Malaysia bahkan ke pelosok dunia.

No comments:

Post a Comment