Monday, March 30, 2009

Selamatkan Hutan Bakau

Oleh:Afra' Fardillah ZaiMustapar

Kemusnahan hutan bakau di kawasan persisiran pantai dikatakan berpunca daripada sikap masyarakat yang sering mengabaikan tentang kepentingan hutan ini. Apa yang perlu disedari umum, hutan bakau adalah merupakan warisan alam yang perlu dipelihara. Hutan bakau sememangnya diketahui menjadi tempat perlindungan pelbagai spesis flora dan fauna seperti buaya, ketam, memerang, beruk, ikan dan pelbagai jenis siput yang masing-masing mempunyai nilai tersendiri. Disamping itu juga hutan bakau merupakan habitat bagi lebih daripada 60 spesies tumbuh-tumbuhan. Terdapat empat jenis spesies utama yang paling di kenali iaitu api-api ludat, bakau minyak, perepat dan berus tumu. Antara spesies bakau lain ialah lenggadai, nyireh bunga, bakau kurap dan chegam.

Di Malaysia, hutan paya laut terdapat di sepanjang pantai Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hutan paya laut di Malaysia merupakan yang ketiga terbesar di Asia Pasifik selepas Indonesia dan Australia. Jumlah luas keseluruhan kawasan tersebut adalah lebih kurang 566 856 hektar iaitu 57 peratus terdapat di Sabah, 26 peratus di Sarawak dan 17 peratus di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan hutan paya laut di Malaysia terletak di pantai barat ( Persisiran Selat Melaka ) iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Namun isu-isu kemusnahan hutan bakau semakin hari menjadi semakin kritikal dan jika tidak ditangani dengan bijak dan segera ianya akan memberikan impak negatif bukan sahaja kepada kita, malahan kepada generasi akan datang. Pengeksploitasian sumber biodiversiti yang tidak dikawal sepenuhnya, seperti penerokaan hutan paya bakau untuk pelbagai tujuan pembangunan seperti ternakan ikan dalam sangkar, kolam ternakan udang, perindustrian, perbandaran dan perkampungan nelayan pinggir pantai serta pembuangan sisa cecair oleh kapal dagangan dan bot nelayan secara tidak langsung mengancam ekosistem paya bakau yang amat sensitif terhadap sebarang perubahan guna tanah di kawasan yang berkenaan.

Aktiviti penerokaan paya bakau yang dilakukan secara sewenang-wenangnya sama ada bagi tujuan pembangunan, perumahan, pertanian atau perindustrian tanpa mengambil kira aspek alam sekitar akan menyebabkan hakisan tanah, mengganggu imbangan haba serta keseimbangan ekologi. Kesannya bukan sahaja boleh menyebabkan kepupusan kepada spesies-spesies hidupan yang sedia ada malah boleh membawa bencana yang dahsyat kepada manusia.

Oleh itu sebarang aktiviti yang meyumbang kepada kemusnahan hutan bakau perlulah dipertimbangkan semula dan dikurangkan. Selain itu juga, pelbagai akta dan peraturan yang telah diwujudkan berkaitan hutan paya bakau haruslah dikuatkuasakan dengan tegas demi menjamin kestabilan hutan ini disamping dapat meminimumkan kemusnahan terhadap alam sekitar. Dan apa yang lebih penting badan - badan bukan kerajaan (NGOs) diharapkan dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk memberi kehidupan semula kepada pokok bakau.

Kesimpulannya hutan paya laut atau hutan bakau adalah antara hutan yang mempunyai banyak kepentingan dan kegunaannya sama ada kepada manusia, alam sekitar ataupun hidupan lain. Ekosistem yang mudah terjejas ini perlu dipulihara sebagai simpanan alam semula jadi. Banyak usaha perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran awam serta menanamkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap orang untuk memulihara warisan bakau semula jadi yang menyimpan sebahagian daripada flora dan fauna dunia yang terancam.

No comments:

Post a Comment