Wednesday, March 4, 2009

Sungai Tercemar Salah Siapa?

oleh Gowri Sritharan



Tercemar dan menjijikkan. Itulah keadaan sebenar Sungai Pinang yang dapat digambarkan pada masa kini. Mengapakah keadaan sedemikian terjadi? Sebagai penduduk asal negeri Pulau Pinang, saya merasa teramat kecewa dengan sikap segelintir penduduk di negeri ini yang memandang sebelah mata tentang kepentingan sungai yang merupakan milik semua.

Walaupun pelbagai kempen telah dilaksanakan, keberkesanan kempen-kempen tersebut dalam mengatasi masalah pencemaran sungai masih menjadi persoalan. Masalah ini berlarutan sehingga telah menjejaskan kehidupan penduduk Pulau Pinang serta pemandangan di bandar. Lebih menyedihkan lagi, Laporan Kualiti Alam Sekitar 2004 menyatakan bahawa Sungai Pinang adalah antara sungai yang paling tercemar di Malaysia dan airnya langsung tidak boleh diminum.

Secara umumnya semua pihak mengetahui tentang kepentingan sungai terhadap manusia dalam kehidupan seharian. Namun, lihat sahaja sikap orang awam yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai di sekitar Pulau Pinang tanpa memikirkan kesan yang bakal terjadi.

Selain dari itu, sikap tamak segelintir pengusaha-pengusaha kilang yang hanya ingin mengaut keuntungan telah menjadikan sungai semakin tercemar. Sisa-sisa buangan kilang-kilang ini disalurkan ke dalam sungai tanpa dirawat terlebih dahulu. Maka, tidak hairanlah jika Sungai Pinang menjadi antara sungai yang paling tercemar di Malaysia.

Walaupun kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi membersihkan Sungai Pinang namun keadaannya masih sama dan tidak berubah. Apa gunanya belanja berjuta-juta namun masih tidak membuahkan hasil? Akhirnya nasib malang akan terus menimpa sungai sekiranya manusia dibiarkan terus mencemarkan sungai.

Melihat kepada keadaan sebenar Sungai Pinang ketika ini yang semakin kritikal, memang sukar untuk mengubah sikap manusia supaya menjadi lebih prihatin terhadap sungai. Ini disebabkan keadaan di negeri Pulau Pinang itu sendiri yang terdiri daripada pebagai jenis lapisan masyarakat dan mentaliti yang berbeza-beza. Ataupun memang itu sikap sebenar manusia yang sewenang-wenangnya mencampakkan bahan buangan ke dalam mana-mana saluran air atau longkang konkrit yang terdekat. Pada pendapat saya, ini merupakan satu sikap yang perlu dikikis dalam setiap manusia. Oleh yang demikian, kita perlulah konsisten dalam usaha untuk memelihara keindahan sungai bagi memastikan ianya bebas dari pencemaran.

No comments:

Post a Comment