Thursday, March 12, 2009

Peliharalah Pulau Redang

Oleh: Afra' Fardillah ZaiMustapar


Terengganu terkenal dengan pantai-pantai peranginan yang indah hingga membuat setiap orang pasti tidak mahu terlepas peluang untuk mengunjunginya. Kesempatan berkunjung di Pulau Redang yang terletak di perairan Laut China Selatan pada tahun lalu merupakan satu percutian yang pasti tidak dapat dilupakan. Kenapakan tidak, pulau yang sememangnya yang akan membuatkan sesiapa sahaja pasti jatuh cinta pada keindahannya yang bergelar syurga taman laut serta kaya dengan hidupan laut seperti terumbu karang, ikan bewarna-warni serta air yang hijau kebiruan sering mengundang keinginan pengunjung untuk melakukan pebagai aktiviti di sana.

Perjalanan yang mengambil masa selama 45 minit melalui jeti Merang sememangnya tidak terasa tambahan pula apabila dikelilingi panorama lautan yang membiru yang pastinya sesiapa sahaja akan terpukau dengan keindahannya. Pada awalnya, ketika sampai di jeti saya sedikit terkejut kerana tidak terdapat jeti khas dan sempurna yang disediakan tetapi hanyalah jeti kayu dan nampak usang. Tetapi pada pendapat saya mungkin itu adalah salah satu cara untuk mengekalkan keaslian tempat tersebut tanpa melakukan pembangunan yang terlampau. Dan jika terlalu banyak pembangunan yang dilakukan sudah pasti akan bertambah banyak pencemaran yang bakal terjadi.

Semasa di Pulau Redang, saya tinggal di calet yang terletak di pantai Pasir Panjang (long beach) yang menyediakan pakej selama 3 hari 2 malam lengkap dengan aktiviti snorkeling, bot (pergi dan balik), makan dan juga aktiviti mengunjungi taman laut. Sememangnya, aktiviti snorkeling adalah satu aktiviti yang paling menyeronokkan. Terdapat pelbagai jenis spesies terumbu karang dan ikan dapat dilihat di dasar laut.


Ketika berkunjung ke taman laut, saya juga berpeluang melihat tapak penyu mendarat dan bertelur. Namun, kini aktiviti perikanan dan mengutip telur penyu secara haram menjadi punca kepada kepupusan spesies-spesies penyu itu. Selain itu, terdapat juga faktor lain yang menyebabkan kehidupan penyu dan terumbu karang yang semakin terancam. Bagi mereka yang gemar aktiviti menyelam (scuba diving) Pulau Redang menjanjikan sesuatu yang terbaik kerana sudah pasti mereka dapat menikmati keindahan kurniaan Illahi dengan lebih dekat lagi.

Tetapi, menurut pemandu pelancong sepuluh tahun dahulu keadaan pantai di Pulau Redang lebih bersih berbanding pada masa kini di mana pasir pantai lebih putih dan halus dan kelihatan seolah-olah seperti tepung. Perkara seperti ini mungkin berlaku disebabkan pembangunan pesat calet Pulau Redang. Selain daripada itu, sikap tidak bertanggungjawab pengusaha calet yang membuang sampah ke dalam laut turut menyebabkan berlakunya pencemaran di pulau tersebut.

Sesungguhnya tidak dinafikan negara kita sememangnya kaya dengan khazanah alam dan perlu dipelihara. Jika kita masih ingin melihat keaslian dan keindahannya sudah pasti pelbagai langkah memulihara perlu dilaksanakan. Inisiatif yang dilakukan seperti membina calet untuk tujuan meningkatkan industri pelancongan adalah tidak salah tetapi ianya mesti bersesuaian dan tidak berlebih-lebihan. Apa yang diharapkan pada masa akan datang Pulau Redang akan kekal sebagai sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan kehidupan marin yang terunggul di mata dunia.

1 comment:

  1. pulau redang adalah salah satu pulau yg menarik dan patut dikunjungi.pulau ini juga memang patut di bangunan kan lagi supaya dapat menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara asalkan pembangunannya tidak menjejaskan keaslian sumber2 alam semulajadi...tahniah kepada penulis yang telah memberi info dan penerangan tentang alam semulajadi di pulau redang ini. sama-samalah kita pelihara keindahan alam semulajadi bersama.

    ReplyDelete